SENI SILAT SENDENG PAKLONG SHUKOR.
Rukun Perguruan.
- Mentaati perintah Allah dan rasul, anjuran dan suruhan Nya serta menghindari segenap larangan dan cegahan serta yang dicela Nya.
- Menyantuni kedua Ibubapa, Guru-guru, Jurulatih (lama dan baru), keluarga tua, sebaya dan muda serta rakan seperguruan.
- Memelihara maruah dan kehormatan Seni Silat Sendeng Malaysia dan kerukunan hidup kekeluargaan dan kemasyarakatan.
- Menjauhi sifat-sifat takbur, ujub, riak, hasad sesama insan dan menghindari dari pertelagahan sesame seperguruan dan berlawan dengan orang lain, melainkan dalam keadaan terdesak dan tercabar.
- Menghormati budaya Silat Melayu yang lain serta seni bela diri bangsa asing.
KATA-KATA SILAT
Falsafah atau kata-kata silat atau pepatah yang terdapat di dalam perguruan ini adalah warisan dari guru-guru silat sejak turun temurun lagi.
Falsafah atau kata-kata silat atau pepatah yang terdapat di dalam perguruan ini adalah warisan dari guru-guru silat sejak turun temurun lagi.
Ia dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang mengandungi pengertian dan maksud yang mendalam yang terselindung di dalam setiap pergerakan silat yang dilakukan.
Falsafah biasanya akan dipendengarkan kepada pesilat -pesilat semasa menjalani latihan mengikuut peringkat-peringkatnya.
PENGERTIAN SENI SILAT SENDENG
Ungkapan Seni Silat Sendeng yang mengandungi erti dan falsafahnya tersendiri.
Ungkapan Seni Silat Sendeng yang mengandungi erti dan falsafahnya tersendiri.
Di tinjau pengertiannya sepintas lalu menurut ungkapan tersebut ialah : -
SENI - adalah kehalusan atau kelembutan gerak atau langkah yang tersusun
ketika menggayakan atau melakukan sesuatu pergerakan jasmani.
SILAT - ialah ketangkasan pergerakan jasmani ketika mempertahankan diri
atau menyerang sama ada bermain secara tangan kosong atau bersenjata.
SENDENG - merupakan adunan teknik pukulan dan dan tektik mengelak
atau menyerang berposisi mengiring.
Mendalami pengertian SENDENG yang menjadi teras perguruan ini, ia mencakupi ertikata yang amat luas baik dari segi ilmiah, jasmaniah mahupun rohaniah.Di sei ilmiah umpamanya 'Sendeng' terdiri dari sukukata dua perkataan yang dicantumkan iaitu 'SEN dan 'DENG'.
' SEN ' - singkatan dari perkataan ' Senggam ' bermaksud kedudukan yang
kukuh, kuat dan rapi.
' DENG ' - (atau ' DING ' ) berasal dari perkataan ' Dinding ' iaitu tempat
bertahan, tembok atau tempat perlindungan.
Di sudut jasmani pula, kedudukan secara menyendeng ketika menunggu serangan dapat menyelamatkan tujuh bahagian anggota yang merbahaya (muka, halkum, dada, sudu hati, rusuk , perut dan kemaluan.Di mana setiap bahagian sasaran utama yang menguntungkan lawan telah dikawal rapi.
Dengan cara ini juga akan memudahkan sipesilat untuk menggorak langkah sama ada maju ke hadapan, mengundur dan membuat buangan atau menepis.
Manakala dari segi rohaniah kedudukan menyendeng dikatakan selamat dari ancaman 'permainan jauh ' dan seandainya kena hanya sipi dan tidak tepat kerana ternyata tempat yang hendak di 'tujui' nya (seperti jantung, ulu hati dan kemaluan) telah terlindung oleh bahu malah tidak dapat ditembusi kerana digalang oleh rahsia ' Lam Alif ' yang terjadi pada bentuk badan bila berkeadaan mengiring.Lagipun turun naik nafas yang menjadi panduan utama keberkesanan ' permainan jauh' itu sukar untuk dikesan.
Oleh yang demikian itu kedudukan 'Sendeng ' merupakan salah satu cara unutk melepaskan, mematikan, memuka dan menepis sebarang bentuk 'musibah' yang menghampirinya kerana falsafah sendeng ada menyatakan "capai sebelum sampai dan bunuh sebelum hidup".
Pemakaian rangkaikata Seni Silat Sendeng yang diabadikan kepada perguruan ini adalah memperlambangkan ciri-ciri pembelajran yang terkandung di dalamnya.
Ciri utama atau teras yang menunjangi pembelajarannya ialah SENDENG ; kerana setiap perlakuan, pergerakan dan penggayaan yang diaksikan baik seni tari, seni permainan alat silat dan seni mempertahankan diri dipraktikkan secara menyendeng atau mengiring.
Inilah sebabnya perguruan ini dinamakan 'Seni Silat Sendeng' atau 'Silat Sendeng'.
Pembelajaran Sendeng dibahagikan kepada tiga tahap iaitu :-
1). Peringkat Asas
2). Kemahiran Asas
3). Jurulatih
MENGENALI SENDENG DENGAN LEBIH DALAM Sendeng dalam erti kata lain ialah sandar.Menyendeng atau menyandar.Dalam perguruan , Sendeng lebih kepada maksud pukul atau lebih dikenali dengan pukul sendeng. Pukulan yang dilakukan secara lazimnya menyandar atau menumpang kepada kekuatan, kelajuan, kemarahan dan kemaraan pihak lawan. Falsafah Sendeng berbunyi 'cepat datang cepat pula jatuh, besar yang datang besar perginya'.Dari falsafah ini jelas membuktikan bahawa SSS boleh menjatuhkan lawan hanya dengan menggunakan kekuatan dan kepantasan pihak lawan.Inilah sebahagian dari apa yang dimaksudkan dengan Sendeng. Falsafah lainnya berbunyi 'Gerak gayang, pantas berani'.Gerak dan gayang pada musuh tapi pantas dan berani pada kita.Ianya bermaksud dalam sesuatu perkelahian 'masak gerak' adalah penting.Yang dikatakan masak gerak ialah dapat membaca pergerakan kasar dan halus pihak lawan.Kita seharusnya tahu apa punca gerak tangan dan apa pula gayang.Biarlah gerak dan gayang itu musuh atau pihak lawan yang pakai tetapi pantas berani pada kita.Ini bermakna lagi pantas musuh menyerang lagi pantas kita serang.Dalam keadaan musuh menyerang dengan pantas kita matikan serangannya. Sendeng juga mengamalkan falsafah 'haram di sentuh'.Haram bukan dari segi agama tetapi haram yang dimaksudkan ialah tidak dibenarkan sama sekali pukulan sendeng disentuh atau ditangkap.Adakalanya lebih baik kena daripada menyentuh.Bezanya, kena tanpa dsentuh kuat tetapi kena setelah disentuh lagi kuat. Kadangkala pakar sendeng memang memberi peluang supaya tangannya disentuh atau cuba ditangkap atau dikunci oleh pihak lawan.Keadaan ini lebih mudah bagi pakar sendeng.Bagi SSS pukulan lebih pantas dari kunci kerana pukul sendeng bukan pukul bermalam.Pukulan sendeng ibarat 'pukulnya satu tapi nampak beribu'. KONSEP: SSS berpegang kepada konsep 99 peratus menyerang dan 1 peratus menunggu.Dalam ertikata lain pakar sendeng amat jarang menunggu serangan tetapi bagi yang tahu mereka akan menyerang terus dan seterusnya.Kenapa pula begitu.Kerana pakar sendeng tahu apa itu ibu gerak dan ibu pukul.Dan tahu bagaimana memati gerak dan memati pukul.Sebab itulah walaupun pada dasarnya pihak lawan cuba menyerang dahulu tetapi pergerakan lawan itu dapat dipintas dan akhirnya pakar sendeng yang memukul.Lagipun apabila serangan dimulakan ianya berlapis-lapis sebab pakar sendeng dilatih 'tangan itu yang menumbuk dan tangan itu juga yang menepis'.Ertinya satu tangan dilatih melakukan dua kerja serentak. |
BELEBAT.
Belebat merupakan langkah awal / permulaan dalam pembelajaran seni Silat Sendeng.
Pergerakan ini mengajar bagaimana cara membuat perlindungan bagi anggota badan
serta membuat langkahan.
No comments:
Post a Comment